31 OGOS IALAH HARI MALAPETAKA
BERAKHIRNYA JALUR TEMBERANG
Semenjak saya memiliki talian internet, setiap tahun saya menjadikan bulan Ogos sebagai bulan melawan lupa dan melawan penipuan. Telah lebih dari satu dekad saya menjalankan kempen ini. Saya menjadikan kempen ini tugas suci dan rukun hidup.
Melawan lupa bukan satu kerja yang enteng. Melawan penipuan yang dirancang memerlukan tekad. Ini bukan tugas mengasah batang keladi untuk dijadikan tombak. Ianya juga bukan sesenang menjual pelampong di Kapal Titanic. Tetapi satelah lebih dari satu dekad hasilnya telah mula kelihatan.
Kempen awal saya ialah mendedahkan penipuan yang paling besar: iaitu 31 Ogos sebagai tarikh Hari Kebangsaan Malaysia. Sebelum munculnya internet memang ramai warga sedar bahawa 31 Ogos ini satu tarikh penipuan. Warga di Sabah dan Sarawak amat sedar tentang penipuan ini. Di Semenanjung Pil Taikam yang bernama 31 Ogos telah ditelan bulat-bulat oleh jenerasi muda.
Pada satu ketika dahulu hegemoni dan kekuatan United Malays National Organisation cukup angkuh. Warga Sabah dan Serawak dipaksa menelan Pil Taikam dengan air liur basi. Warga Sabah dan Sarawak dibuli dan dinjak-injak. Sejarah negara bangsa Sabahan dan Sarawakian diketepikan.
Pembohongan 31 Ogos ini dibantu pula oleh kesah dongeng tentang Sabah dan Sarawak telah masuk Malaysia. Hingga ke hari ini kesah dongeng ini masih lagi dijaja ke hulu ke hilir. Penipuan fakta ini adalah kerja United Malays National Organsiation. Mengatakan Sabah dan Sarawak masuk Malaysia samalah saperti menjual bangkai anjing yang dikatakan daging kambing.
Sabah dan Sarawak TIDAK pernah masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu menubuhkan gagasan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak TIDAK ada Malaysia. Malaysia bukan diwujudkan pada 31 Ogos 1957. Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963.
Dengan marak dan berkembangnya nasionalisma Kadazan, Murut, Iban dan Dayak penipuan 31 Ogos telah mula dibongkar. Warga Sabah dan Sarawak tidak mahu lagi menelan Pil Taikam dan membeli dbangkai anjing yang dikatakan daging kambing. Sabahan dan Sarawakian telah mula memiliki keyakinan diri untuk menentukan masa depan nasib mereka sendiri.
Nasionalisma dan hak menentukan nasib sebagai warga yang bebas merdeka telah dibantut dan ditekan oleh hegemoni Ketuanan Melayu. Kini semangat Sabah untuk Sabahan dan Sarawak untuk Sarawakian telah mula berkembang. Justeru, tarikh 31 Ogos tidak lagi dirayakan di Sabah dan Serawak. Gila apa warga Sabah dan Serawak merayakan 31 Ogos?
Selama lebih dari 50 tahun United Malays National Organisation telah membebel menipu tentang perjuangan menuntut Merdeka. Di katakan bahawa Merdeka telah diberikan oleh penjajah British melalui perundingan. Ini adalah satu pembohongan. Ini satu penipuan. Di zaman tanpa internet dahulu ada kemungkinan bangkai anjing ini boleh dijual sebagai daging kambing. Tetapi hari ini mustahil bangkai anjing ini dapat terjual.
Jenerasi muda telah mula mengenal dan melihat imej Ahmad Boestaman, Pak Sako, Rashid Maydin, Chin Peng, Ibrahim Yacob, Mukhtaruddin Lasso, Shamsiah Fakeh, Abdulah Sidi, Burhanuddin Helmi dan Uztaz Abu Bakar Bakir. Kini kesedaran yang ampoh telah sampai untuk menobatkan penjuang-pejuang ini ke dalam tinta sejarah perjuangan melawan British.
Nama-nama pertubuhan nasionalis yang bangun berjuang melawan British kini sedang menjadi buah mulut anak-anak muda. Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Parti Komunis Malaya, Partai Kebangsaan Melayu Malaya kini mula menjadi ingatan bersama. Selama lebih dari 50 tahun gerombolan United Malays National Organsiation telah cuba melupuskan nama-nama ini dari papan sejarah. Kerja jahat ini telah meleset gagal.
Hari ini bukan sahaja nama pejuangan ini diingati kembali malah anak-anak muda telah mengarap lagu, sajak dan seloka berasaskan perjuangan mereka. Sajak dan shaer telah digurindamkan untuk mengingati perjuaangan suci mereka. Wajah mereka bukan hanya dipapan lukis malah kini sedang menjadi ikon untuk baju T anak-anak muda.
Bulan Ogos tahun lalu saya merasakan satu kejayaan besar kerana timbulnya polemik tentang Mat Indera. Sosok pejuang dari Parti Komunis Malaya ini tidak dapat tidak adalah ikon baru dalam pensejarahan Tanah Melayu. Selama puluhan tahun warga telah didodoikan dengan kesah dongeng Bukit Kepong. Tetapi tahun lalu ledakan Mat Indera telah menobatkan imej pejuang ini sebagai ikon anak muda setaraf dengan Che dan John Lennon.
Semenjak Ogos tahun lalu anak semua bangsa telah mengetahui bahawa rumah pasong Bukit Kepong ialah rumah pasong British. Serangan yang dipimpin oleh Mat Indera ialah serangan untuk mengahalau penjajah British. Tok Sarjan kepala rumah pasong malam itu bernama Ray Dancey. Bendera yang tercacak di atas rumah pasong bukan Sang Saka Tanah Melayu tetapi Union Jack. Tarikh serangan ialah malam 23 Februari 1953. Pada tarikh itu Tanah Melayu ialah tanah jajajan British.
Memang betul ramai mata-mata Melayu yang tewas di tangan nasionalis Mat Indera. Tetapi menjadi Melayu sahaja tidak menjamin apa-apa. Menjadi Melayu bukan bermakna menjadi malaikat.! Melayu ini mungkin kerana desakan ekonomi telah menjadi mata-mata dan soldadu upahan British. Ini fakta sejarah yang tidak mungkin dapat disorokan lagi.
Dari dongeng Bukit Kepong yang telah terbarai, mari kita berjoget dan berdendang dengan lagu Memula Moon. Lebih dari sepuluh tahun dahulu setiap bulan Ogos saya telah menimbulkan kes ciplakan Memula Moon. Pada mulanya agak susah juga untuk anak semua bangsa menerima hakikat bahawa lagu kebangsaan Negara-ku ini rupa-rupanya lagu ciplakan. Ciplakkan ini adalah ciplakan kelas kedua. Lagu ini diciplakan bukan dari yang ori tetapi ciplakan atas ciplakan. Lagu Negara-ku ini diambil dari lagu Indonesia Terang Bulan - yang diciplak dari Memula Moon.
Tentang ciplakan lagu Negara-ku ini gerombolan dan kuncu-kuncu United Malays National Organsiation tidak berani berkata apa-apa. Mereka senyap seperti mayat dalam keranda. Dalam kes Mat Indera mereka bangun menyerang. Kuncu-kuncu Ngo United Malays National Organisation telah menyinsing lengan baju untuk bergaduh. Malah ada yang mengutuk Mat Indera dengan meniru perangai Shahrizat Jalil mengangkat kain untuk menakutkan orang ramai dengan hutan buluhnya.
Tidak dapat tida rakyat Malaysia telah sedar bahawa lagu Negara-ku ini adalah hasil ciplakan. Dalam masa yang tidak lama Memula Moon a.k.a Negara-ku ini akan dilupuskan. Perjalanan sejarah kearah ini tidak dapat dibendung. Yang diciplak telah diketahui ramai. Warga Malaysia yang memiliki hormat diri tidak akan menerima penghinaan lagu kebangsaan mereka sebenarnya adalah hasil ciplakan.
Budaya ciplak ini bukan hanya untuk lagu. Kini anak semua bangsa telah menyedari bahawa bendera Jalur Temberang...opps.... Jalur Gemilang itu rupa-rupanya juga diciplak dari m! otif ben dera Amerika Syarikat.
Jalur Gemilang kini sudah mula dikenali sebagai Jalur Temberang. Bendera ini amat jelas dilihat tidak memiliki apa-apa motif budaya tempatan jauh sekali budaya Melayu Nusantara. Motif Nusantara ialah warna merah puteh saperti bendera Parti Pas, bendera Singapura, bendera Indonesia malah bendera resmi parti United Malays National Organisation sendiri membawa merah puteh warna motif Nusantara.
Selama 55 tahun di Semenanjung dan 49 tahun di Sabah dan Sarawak - anak semua bangsa telah ditipu dengan Jalur Temberang. Berathun-tahun bendera ini telah dipelok erat oleh United Malays National Organisation. Hasilnya, bendera ini telah dilihat sebagai simbol kazaliman . Bendera ini telah diasosiasikan dengan segala bentuk kerenah dan kemungkaran yang di bawa oleh United Malays Natioanal Organisation. Justeru kebencian anak semua bangsa terhadap Jalur Temberang ini bukan satu yang dapat disorokan lagi.
Sebagai bukti tulisan ini digarap hanya 4 hari sebelum perayaan 31 Ogos. Tidak kelihatan kereta persendirian, taxi, van atau lori yang mengkibarkan Jalur Temberang ini. Rakyat anak semua bangsa telah melihat bahawa bendera ini adalah hak milik United Malays National Organisatgion. Justeru anak semua bangsa tidak ambil pot untuk mengkibarkan bendera ini.
Hanya dibanguan kerajaan sahaja Jalur Tembernag ini berkibar. Ini kerana ada arahan memaksa ketua pejabat memasang bendera ini. Di kawasan perumahan , tepi jalan, di tiang leterik semua ini adalah projek. Mat Indon dan Mat Bangla telah diupah untuk memasang bendera sebagai projek masyuuuk untuk Ketua Bahagian.
Tidak dapat tidak sentimen anti Jalur Temberang telah meluas. Pada bulan Ogos tahun lalu seoarang ahli parlimen telah! mencada ngkan agar bendera ini diganti. Saranan ini adalah tepat. Saperti lagu Terang Bulan, Jalur Temberang ini juga akan dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah bersama tuan-tuannya.
Selama 55 tahun pembohongan dan penipuan ditabur. Kini pada tahun 2012 semua telah terbarai. Kesedaran telah datang melonjak. Saya boleh menarik nafas panjang dan tersenyum kerana kempen bulan Ogos melawan lupa dan melawan penipuan telah mula menampakkan hasil.
Pada tahun 2012 ini bangkai anjing tidak mungkin dapat dijual sebagai daging kambing. Tidak ada siapa yang bersedia menelan Pil Taikam. Opps...hampir telupa...Pil Taikam ialah tahi kambing yang telah disira dengan gula dan dijual sebagai makjun oleh para bomoh.(TT)
NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45
Comments